Thursday, February 16, 2012

Fenomena Aurora dan Ribut Matahari bukan kiamat 2012 !


BANYAK ramalan menyebut 2012 merupakan tahun berlakunya kiamat. Teori kemusnahan alam semesta kaum Maya telah dipopularkan menerusi filem 2012 hinggakan filem tahun 2009 itu meraih kutipan global sebanyak AS$769 juta (RM2.3 bilion).
Nostradamus, si peramal tersohor Perancis turut menamakan 2012 sebagai tahun kemusnahan planet-planet, manakala para ahli astrologi China dari Dinasti Chang mengatakan akan berlaku bencana besar tahun ini.
Oleh kerana itu, apabila saintis menjangkakan fenomena ribut matahari terjadi pada pertengahan 2012 hingga 2013, mitos kiamat yang dicanangkan sebelum ini terasa bagaikan semakin hampir.
Dalam ilmu astrologi, matahari merupakan bintang yang terletak paling dekat dengan bumi iaitu sejauh 149 juta kilometer. Ia mempunyai suhu teras 15 juta darjah Celcius dan telah terbentuk lebih 5,000 juta tahun yang lalu.


“Ribut matahari berlaku akibat peningkatan suhu matahari daripada kadar normal. Suhu panas itu menyebabkan ia mengeluarkan gas yang sebahagiannya akan masuk semula ke dalam matahari.
“Bagaimanapun, sebahagian gas itu berlegar di ruang angkasa dan memasuki atmofera bumi. Fenomena itulah yang digelar ribut matahari,” kata seorang pakar astronomi tempatan, Shahrin Ahmad.
Namun, beliau berpendapat ribut matahari tidak akan memusnahkan bumi. Malah, kejadian ribut matahari sampai ke bumi jarang berlaku kerana ia dihalang oleh lapisan atmosfera dan medan magnet bumi.
Kesan
“Ribut itu akan termusnah sendiri sebelum sampai ke daratan. Tetapi jika ia menembusi lapisan atmosfera dan medan magnet bumi dengan saiz dua atau tiga kali ganda melebihi saiz bumi, kerosakan besar boleh berlaku.
“Apa pun, ia terhad kepada kerosakan peralatan elektrik dan sistem telekomunikasi seperti satelit, sistem penerbangan dan Internet,” kata Shahrin.
RIBUT matahari berlaku disebabkan bintang itu menjadi lebih panas berbanding suhu biasa iaitu 15 juta darjah Celcius.
Beliau memberitahu, kesan ribut matahari pernah dirasai di bumi pada tahun 1859. Akibatnya, sistem telegraf di Amerika Syarikat dan negara Eropah lumpuh sama sekali.
“Peristiwa itu dinamakan Carrington Event. Begitupun, kejadian itu kini boleh dielakkan dengan dua satelit peninjau matahari bernama Stereo yang dilancarkan Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas (NASA) Amerika Syarikat.
“Kedua-dua satelit itu berperanan mengumpul data untuk memahami dan meramalkan ribut matahari sebagai persediaan awal jika ia berlaku,” ujarnya.
Shahrin menambah, memang wujud kebimbangan bahawa ribut matahari kemungkinan menjejaskan struktur asid deoksiribonukleik (DNA) manusia namun beliau berpendapat perubahan DNA itu lebih disebabkan oleh kesan rumah hijau dan pelepasan gas beracun radioaktif.
“Makanan, radioaktif dan bahan kimia yang meresapi tubuh boleh mengganggu sistem tubuh tetapi ia tiada kaitan secara langsung dengan fenomena ribut matahari,” tegasnya.
NASA sebelum ini meramalkan ribut matahari akan kerap berlaku sepanjang tahun 2012 dan 2013.
Ini mengakibatkan saintis Amerika Syarikat (AS) mengandaikan impak kerosakan akibat ribut matahari pada tahun 2012 lebih dahsyat berbanding Taufan Katrina yang melanda AS pada tahun 2005 dan mengorbankan 1,800 orang.
“Puncak kerisauan sebenar ialah gangguan ke atas kehidupan sosial yang bergantung pada teknologi seperti GPS dan komunikasi satelit,” kata ahli fizik NASA, Lika Guhathakurta.
Seorang lagi pegawai NASA, Michael Kaiser menambah, matahari mencetuskan ribut solar sejak berbilion tahun dahulu tetapi hanya pada akhir-akhir ini ramai yang mengambil berat isu tersebut.
“Pertambahan tenaga magnetik dalam atmosfera dijangka mengeluarkan radiasi yang mampu menyebabkan kuasa janakuasa elektrik meningkat mendadak,” katanya.“Ribut elektromagnet matahari boleh menjejaskan sistem tenaga elektrik selain membahayakan angkasawan.
Ujarnya lagi, kali terakhir pancaran matahari meletus adalah pada tahun 1859 hingga menyebabkan dua pertiga daripada ruang angkasa bumi bertukar menjadi warna merah.
Dijangkakan, peristiwa itu dapat dilihat sekali lagi dengan beberapa bandar utama seperti London, Paris dan New York mengalami ribut awan pada 2012 atau 2013.
Pakar astronomi dari Indonesia, Hakim L Malasan pula berpendapat, fenomena ribut matahari tidak berhubung kait dengan kiamat. Seorang lagi pakar, Thomas Djamaluddin, mengatakan kiamat mungkin berlaku lima juta tahun lagi.
“Matahari akan menjadi bintang raksasa merah dan menelan planet terdekat, Utarid, Zuhrah dan mungkin bumi,” jelasnya.
Hidrogen
Timbalan Ketua Pengarah Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Vienna, Profesor Datuk Dr. Mazlan Othman berpendapat, bidang astrofizik tidak dapat menentukan hari kiamat selagi tiada perubahan pada matahari.
“Ahli fizik memang percaya bahawa alam semesta akan berakhir tetapi sama ada pada 2012 atau 10 juta tahun dari sekarang mahupun 10 bilion tahun lagi, ia terpulang kepada teori yang kita ada.
“Dari segi fizik, jika matahari sudah kehabisan hidrogen, ia akan berkembang menjadi bintang lain. Ketika itu kehidupan di bumi akan mengalami perubahan dan kejadian tersebut boleh dikatakan sebagai tanda kiamat.
RIBUT matahari tidak akan memusnahkan bumi sebaliknya merosakkan sistem radar dan satelit.
“Ini kerana apabila matahari tiada lagi tenaga, manusia tidak boleh hidup dan akan berlaku banyak kejadian alam yang boleh mencetuskan pengakhiran dunia,” katanya.
Menurut Pegawai Sains, Agensi Angkasa Negara (Angkasa), Mohd. Zamri Shah Mastor, bumi juga boleh hancur menerusi hentaman objek yang terapung di angkasa lepas seperti komet atau asteroid.
“Tetapi kita bernasib baik disebabkan bumi memiliki lapisan atmosfera. Lapisan itu menyebabkan komet dan asteroid yang cuba menerjah atmosfera bumi akan termusnah terlebih dahulu.
“Sebenarnya terdapat 1,077 asteroid yang dikenal pasti berpotensi menghentam bumi,” katanya.
Fenomena Aurora


Hamburan partikel bertenaga tinggi (Coronal Mass Ejection) dari gelombang ribut matahari selasa lalu telah menghasilkan pemandangan yang mengkagumkan di langit di sebahagian besar kawasan di hemisfera utara. Gelombang elektromagnetik yang menembusi atmosfera telah menghasilkan fenomena cahaya berwarna-warni yang dikenali sebagai Aurora Borealis atau Northern Lights.


Kumpulan pengkaji astronomi serta pelancong tidak melepaskan peluang untuk melihat pemandangan yang jarang-jarang berlaku tersebut. Ada antara mereka yang sanggup menyewa kapal persiaran untuk melihat lebih jelas fenomena aurora tersebut di bahagian utara negara Scandinavia.
John Mason, seorang ahli astronomi dari Britain berkata “ia merupakan satu pemandangan yang unik, indah dan mengkagumkan. Saya melihat aurora pertama kali 40 tahun yang lalu dan kali ini adalah yang paling cantik pernah saya saksikan” kata beliau di atas dek kapal MS Midnatsol di utara Norway.
Pemandu pelancong di Jukkasjarvi, Sweden, Andreas Hermansson menyatakan bahawa aurora kali ini merupakan yang terbesar pernah dilihatnya sejak enam tahun yang lalu. Beliau membawa rombongan pelancong menaiki bas untuk menikmati cahaya aurora yang berwarna kehijauan menari-nari di langit pada petang hari selasa selama lebih kurang satu jam.
Fenomena aurora yang terjadi kali ini juga dilaporkan boleh dilihat di negara-negara yang lebih jauh ke Selatan Eropah seperti Ireland dan Britain sebelum partikel-partikel dari ribut matahari sampai ke atmosfera bumi. Walaubagaimanapun menurut Doug Biesecker dari U.S National Oceanic and Atmospheric Administration (NOAA), cahaya tersebut mungkin datangnya dari angin matahari yang membawa gelombang bertenaga elektrik dan bukan partikel-partikel yang tercetus dari gelombang matahari.
Aurora Borealis yang terhasil kali ini berpunca dari aktiviti matahari yang dikenali sebagai ribut matahari (solar flares) pada titik matahari (sunspot) 1402, pada hari Isnin 24/2/2012). Ledakan ini adalah yang paling kuat pernah direkodkan sejak tahun 2005 dan termasuk dalam kategori M-9. Kategori ini hampir mencecah tahap paling tinggi yang dikenali sebagai X-Extreme. Akibat dari letusan matahari ini, partikel-partikel bertenaga tinggi terbebas dan menghamburkan Jisim Korona (Coronal Mass Ejection) yang bergerak dengan halaju tinggi kira-kira 2.200 kilometer persaat. Ribut matahari sentiasa diawasi kerana ia mampu membawa kerosakan pada satelit dan sistem telekomunikasi.

OMG , takott :3

No comments: